Asklegal
Home banner a3d631df 79f4 46f1 896f 7474d3e9206c

Criminal,General

Apakah kuasa Polis Bantuan di Malaysia?

4 months ago Clarence Kuna

215

Shares

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

[Artikel ini diterjemah dari Bahasa Inggeris. Click here for English version]

 

Sudah pasti ramai yang arif dengan kewujudan Polis Bantuan di LRT/MRT/stesen keretapi dan di pusat membeli-belah. Mereka ni nampak macam polis, tapi bila anda lihat lencana mereka dengan teliti, anda boleh nampak perkataan “Polis Bantuan” padanya. Kadangkala kita tertanya-tanya, apa sebenarnya yang mereka buat dan adakah mereka ini polis yang betul dari PDRM? Bagaimana mereka dipilih dan dilatih? Bolehkah mereka membawa senjata api? Apa bezanya Polis Bantuan dengan PDRM?

 Imej dari Page FB Polis Bantuan Malaysia

Mari kita lihat peranan asas Polis Bantuan bermula dengan…

 

1. Kuasa dan tugas

Jangan lepaskan peluang guna KUASAAAA! Gif dari tenorgif

Yang pertama-tamanya, mereka ini bukannya pengawal keselamatan. Polis Bantuan sebenarnya dilantik dan dikawal di bawah seksyen 47 – 50 Akta Polis 1967 bagi tujuan memberi khidmat pengawasan di kawasan-kawasan yang kekurangan pengawalan polis, dan boleh menjadi unit bantuan kepada PDRM dalam situasi yang diperlukan.

Badan swasta (seperti pusat membeli-belah) “mengupah” Polis Bantuan dengan mengemukakan permohonan rasmi kepada PDRM untuk mendapatkan khidmat mereka, dan mereka akan bertanggungjawab untuk membayar gaji mereka. Menurut portal PDRM, seseorang pegawai atau anggota Polis Bantuan hendaklah disifatkan berkhidmat dari bulan ke bulan, walau bagaimanapun tempoh perkhidmatannya adalah tertakluk kepada sebarang perjanjian yang dibuat dengan majikannya.

Tugas mereka termasuklah:

  1. Rondaan, bit dan kawalan statik
  2. Kawalan orang ramai, memeriksa orang dan kenderaan
  3. Melindungi dan mengiring harta majikan
  4. Mencegah kesalahan jenayah
  5. Mengesan dan menangkap pesalah

Tugas utama Polis Bantuan adakah untuk melindungi harta benda milik majikan dan mencegah jenayah di kawasan jagaan mereka. Ini bermakna mereka berfungsi sebagai polis di dalam lingkungan kawasan milik majikan mereka. Seperti yang dijelaskan di atas, mereka juga bekerjasama dengan polis PDRM, jadi bagaimana “percanggahan kuasa” dielakkan bila berdepan dengan keselamatan awam?

Soalan yang bernas sekali!

Perenggan 20 Perintah Tetap Ketua Polis Negara menyatakan bahawa apabila Polis Bantuan bekerjasama dengan pegawai polis dari PDRM, pangkat Polis Bantuan haruslah lebih rendah dari pangkat pegawai polis PDRM. Perenggan 6.5 pula menyatakan bahawa pangkat tertinggi mana-mana Polis Bantuan tidak boleh melebihi pangkat Ketua Polis Daerah kawasan terbabit.  

 

2. Pelantikan Polis Bantuan

Takleh macam ni. Imej dari imgur

Seksyen 47(1) Akta Polis 1967 menyatakan bahawa:

Ketua Polis Negara, dengan persetujuan Menteri, boleh melantik atau menaikkan pangkat mana-mana orang untuk berkhidmat dalam Polis Bantuan sebagai pegawai kanan polis bantuan dengan pangkat kehormat Penguasa, Timbalan Penguasa, Penolong Penguasa atau Inspektor, dan boleh menetapkan kawasan di mana pegawai itu akan berkhidmat.

Ketua Polis Negara, dengan restu Menteri Dalam Negeri, boleh melantik mana-mana individu sebagai Pegawai Kanan Polis Bantuan dari pangkat kehormat Inspektor hingga ke pangkat Superintendan. Individu ini boleh terdiri dari mana-mana pegawai polis yang telah menjalani latihan.

Seksyen 47(2) pula menyatakan pelantikan pegawai rendah polis bantuan:

Seorang Pegawai Memerintah atau mana-mana pegawai polis yang diberi kuasa olehnya bagi maksud itu, dengan atau tanpa perjanjian bertulis, boleh melantik atau menaikkan pangkat mana-mana orang untuk berkhidmat dalam Polis Bantuan sebagai pegawai rendah polis bantuan dengan pangkat kehormat sub-inspektor, sarjan mejar, sarjan atau koperal atau sebagai seorang konstabel polis bantuan dan boleh menetapkan kawasan di mana pegawai itu akan berkhidmat.

Pegawai Memerintah atau mana-mana pegawai polis yang diberi kuasa olehnya boleh melantik mana-mana individu (selepas latihan) sebagai pegawai rendah polis bantuan. Sepertimana pelantikan pegawai kanan Polis Bantuan, pegawai polis yang sedia ada ataupun individu yang telah melalui latihan akan dilantik.

 

3. Latihan

SERIBU TEKAN TUBI. SEKARANG! Imej dari yt

Kepada sesiapa yang pernah menyertai badan beruniform Kadet Polis semasa sekolah menengah dulu, pasti anda ingat latihan kawat dan latihan-latihan lain. Ianya lebih kurang sama dengan latihan untuk Polis Bantuan, namun ada juga perbezaannya. Latihan Polis Bantuan dijalankan selama 9 minggu di Pusat Latihan Polis. Majikan mereka bertanggungjawab ke atas penginapan, makanan, peralatan dan lain-lain yang diperlukan semasa latihan ini. Pusat Latihan Bukit Aman menyediakan sukatan latihan dan ini dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan keberkesanan dan kaitan sukatan latihan.

Majikan Polis Bantuan juga perlu menyediakan kursus dan latihan tambahan dari masa ke semasa. Mereka juga boleh menghubungi Badan Polis Bantuan untuk mendapatkan maklumat tentang latihan yang bersesuaian untuk memantapkan lagi prestasi pegawai mereka. Contoh latihan boleh dirujuk di sini.

Organisasi pengawasan ada tatatertib yang perlu dipatuhi. Ini termaktub dalam Perenggan 26-28.

  • Perenggan 26: Seorang anggota Polis Bantuan hendaklah tertakluk kepada peraturan-peraturan tatatertib yang seberapa hampir seperti seorang pegawai polis yang setaraf pangkat dengannya
  • Perenggan 27: Majikan bertanggungjawab mengambil tindakan salah laku anggota-anggota Polis Bantuan di bawah kawalannya dan melaporkan keputusan tindakan salah lakunya kepada Pesuruhjaya/Ketua Polis Negeri yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
  • Perenggan 28: Ketua Polis Negara boleh pada bila-bila masa mengikut budi bicaranya menarik balik kuasa polis seseorang Pegawai Kanan Polis Bantuan dan boleh juga menurunkan pangkatnya ke pangkat yang lebih rendah. Pesuruhjaya atau Ketua Polis boleh pada bila-bila masa mengikut budi bicaranya, menarik balik kuasa polis seseorang Pegawai Rendah Polis Bantuan atau Konstabel Polis Bantuan.

Seperti mana yang telah kita bincangkan, ada juga Polis Bantuan yang membawa senjata api, jadi…

 

4. Senjata api, gari dan cota

PEW PEWPEW PEW! Imej dari apaorg

Ya betul! mereka boleh membawa senjata api, gari dan cota.

Menurut Perenggan 25, Polis Bantuan boleh membawa dan menggunakan senjata api, gari dan cota yang dilesenkan di atas nama majikannya, dengan syarat mereka hanya boleh membawa dan menggunakannya semasa menjalankan tugas-tugas rasmi yang diarah oleh majikannya dalam kawasan yang ditetapkan.

 

Sejauh mana perlu kita mengikuti arahan Polis Bantuan?

Disebabkan Polis Bantuan diambil bekerja oleh majikan mereka, bidang kuasa mereka hanya tertakluk di kawasan milik majikan mereka ataupun di mana mereka ditugaskan. Mereka tidak mempunyai kuasa di luar kawasan tersebut.

Jadi kita tidak perlu bimbang jika kita nampak abang-abang Polis Bantuan di tempat awam. Malah, tak perlu bimbang pun bila kita berada di kawasan mereka bekerja, melainkan jika kita ada buat benda dajal.

 

Tags:
polis bantuan
akta polis 1967
pdrm
badan polis bantuan
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


215

Shares